Jam 6.45 petang-- Keluhan panjang muncul setiap 10 minit di hujung bibirku. Entah mengapa sehari setengah sebelum hari peperiksaan baru ilham dan perasaan cemas itu datang. Sekarang, haa, aku terima padah kena menelaah balik kesemua set masalah bagi subjek Kalkulus Pelbagai Anu yang tampaknya sangat memeritkan. Hai, aku dah belajar Pengganda La Grange dalam Analisis Mikroekonomi Pertengahan tiga minggu sebelum belajar benda yang sama dalam kelas matematik ini. Macam tak guna je ambil kelas ini. Berpinar-pinar mata aku tengok integrasi tiga gandaan, gambarajah tiga dimensi, Yaakobian dan produk silang vektor. Penat-penat. Tapi aku puji diri sendiri dah buat nota yang sangat kemas dan komprehensif untuk 2 ujian sebelum ini. Sekarang tinggal baca dan praktis je. Yelah, sebab aku ni kan obsesif kompulsif sedikit, harus buat balik semua latihan baru rasa lega.
Hm, tapi biasalah, setiap 10 minit yang aku berkeluh tadi, setiap kali itulah mataku meliar ke sana ke mari. Awal tadi ada mat salleh yang sangat lah hencem duduk makan sandwic Subway depan aku. Sekurang-kurangnya dapat jugalah bangunkan diri dan cuci mata (walaupun terasa sangat-sangat terganggu dengan rambutnya yang perang gelap dan keningnya yang sangat sempurna). Orangnya nampak lemah lembut dan sopan, makan Subway takde bunyi krap krup krap. Aku pun tak makan Subway (yang memang konfem bersepah) sebegitu kemas! Wah, lagilah mata ini nak usha! Hai, malangnya hiburan hati itu hanya buat sementara. Dia pergi sambung tulis esseinya di komputer bertentangan meja kami, dan memang dah sehari suntuk aku tengok dia menghadap komputer itu. Ini mesti kes sama dengan hampir 90% penghuni di Regenstein di ambang peperiksaan ini: tiada keimanan dan semangat diri.
Memang perpustakaan Regenstein kalau tengah-tengah minggu peperiksaan ini, ramai aja penghuninya yang muka separuh mati. Aku salah sorang. Dengan beg, "kot bawah" dan selendang dicampak atas kerusi sebelah, kertas-kertas conteng bertaburan atas meja, bekas makanan ringan terbuka dua tiga (khususnya Flipz, pretzel bersalut coklat yang sangat uupmmh sedapnya), telefon mobil di tangan dan Ipod di telinga; aku epitomi pelajar UChicago yang skema. Padahal sebenarnya hanya suka buat kerja minit terakhir. Ala, di manakah syoknya kalau buat kerja terlampau awal kan? Lagipun, aku memang lagi menonjol kalau buat kerja saat terakhir, kerana perasaan perlu-buat, perlu-habiskan, dan aaah-penat-dan-tak-tahan-mahu-habiskan menguasai diri.
Hish, tapi, kalau-kalau dah tak boleh beri konsentrasi yang sepenuhnya, apa boleh buat? Takkan nak asyik-asyik semak peti mel-elektronik dan dengan perasannya baca blog sendiri berulang kali? Aku pasti orang lain yang tengok aku sekejap-sekejap pergi dekat komputer belakang tu tahan gelak aje. Haha, kalau aku jadi diorang pun aku gelak, gelak dalam hati sebab memang semua orang sama aja, suka bazir masa! Buntu, aku ambil jalan mudah. Rehatkan minda sambil buat kegemaran masa lapangku: usha keadaan sekeliling!
Aku lihat gadis gempal di sebelah aku tadi yang datang dengan seorang wanita berambut kerinting. Tadi muka dia macam stres sangat, pegang 4-5 buku yang tebal. Aku agak mesti kena tulis esei yang berpuluh-puluh muka surat. Huuuu, itu semua dah aku tempuhi tahun lepas, sekarang ni selamatlah. Hoh, aku pun ambik inisiatif jalan-jalan dengan tujuan mahu tengok telatah orang. Aaah, gadis-gadis yang ranggi pakaian mereka, lengkap dengan but UGGS, sibuk menyemak laman Mukabuku dengan macbook masing-masing.
Opocot, tak sedar pulak aku ada pasangan di bahagian depan, berhampiran dengan ensikoplodia ruang bacaan, sibuk bercumbu-cumbuan! Insiden yang jarang-jarang berlaku! Aku tak bohong! Sudah banyak kali aku bilang pada rakan-rakan bahawa universitiku memang tiada orang yang lakukan Tayangan Intimasi Umum. Ternyata aku salah. Oh, dan haruskah aku selitkan bahawa jejaka itu India, dan gadis itu mat salleh? Ini bukan kali pertama aku nampak kombinasi sebegini. Nampaknya orang India Amerika bahan hangat dan dicari-cari. Kata rakan aku sebab orang India Amerika sangat konfiden, ala-ala jantan sejati. Heh, pada fikiran nakalku, mungkin bulu-bulu dada mereka yang gadis-gadis ini cari, tidak lain tidak bukan!
Oh, sekembalinya aku ke meja, nampaknya gadis gempal sudah ada teman! Ghairah je muka dia baca nota sambil berpegangan tangan dengan temannya yang boleh tahan rupa. *Keluh* Memang jadi budaya kolej di mana-mana, berkepit dengan pasangan masing-masing. Pada akhir hari, rakan taulan ditinggalkan. Haha, nasib temanku (entah masih atau tidak) tidak belajar di sini juga, jadi aku tidak tergolong dalam "kawan lupa kawan kerna cinta".
Tak sampai setengah jam kemudian, bekas teman serumah (yakni sistem rumah, bukan apartmen) yang jalan mendada dan sangat menjelikkan lalu dan beriku senyuman sinis. Nama dia Jordan, macam kasut Air Jordan. Seharusnya memang kasut itu disumbat dalam mulutnya atau dituju ke mukanya yang bagai meminta-minta untuk disepak. Aku teringat kembali peristiwa dalam kelas Kemanusiaan aku tahun lepas dia buat dono je dekat aku dalam perbincangan tiga-sekumpulan. Die pandang rendah aku tak reti beri pendapat dan bercakap dalam publik! Hah, kesilapan besar! Aku boleh buka mulut besar ini, dan karya penulisan aku pun sehandal kau, tau! Tiap-tiap esei aku dapat A tau untuk kelas tu!
Dia datang dan pergi; aku sambung buat Matematik dan terganggu lagi. Aku toleh ke kanan, ke arah meja gadis gempal dan teman lelakinya yang bermesra itu, dan gadis itu rupa-rupanya sedang bersiap untuk pergi. Sejurus kemudian, aku pandang lagi sekali. Lelaki itu sibuk mengorek hidungnya dengan penuh syahdu! Hehe, geli-geleman. Tapi aku paham benar, kerana aku juga suka kopek kulit kering di telinga aku sambil belajar. Itu tidak kira dengan tabiat aku mengetap gigi dan main dengan rambut. Kalau dulu zaman-zaman aku ada kelemumur, aku suka kopek kelumumur (yang berkeping-keping astaga besar) dan jatuhkan atas meja sebab aku nak tengok berapa banyak yang aku dapat. Tapi aku tidaklah korek hidung di publik, rasanya itu terlampau peribadi. Tralalala.
Jam 12.15 tengah malam-- Sedar tak sedar, dah masa untuk aku pulang ke bilik. Alamatnya hanya berpoya-poya melayari blog orang, semak Mukabuku dan tidak sambung belajar jika aku balik. Tapi rasanya aku dah buat apa yang patut untuk hari ini. Besok takkan pergi (kecuali aku pergi dulu). Pakailah aku semula selendang, "kot bawah" dan kemaslah aku segala sampah sarap yang telah aku kumpul sejak pagi tadi bertandang ke Regeinstein. Ramai juga yang bergegas untuk mengejar bas jam 12.20. Sambil menunggu lif (kerana kami golongan malas tidak mahu turun tiga tingkat tangga), kami saling berpandangan, seolah-olah membisikkan "Aku tak buat banyak harini, aku tau kau jugak tidak. Nampaknya besok hari yang panjang lagi. Kau dan aku berdua. *Keluh*".
Ya, besok aku bakal tempuhi hari yang sama di Regenstein.
rahsia selepas (r/s): Minta maaf bunyi sedikit kasar gunakan "Aku". Rasanya "saya" tidak aka mendatangkan kesan yang saya mahukan. "Aku" bunyi lebih bersahaja untuk kisah-kisah mencuit hati sebegini, tidak begitu?=P Sebelum terlupa, di sini saya ingin mengucapkan salam Hari Raya Aidiladha buat semua. Pelajar-pelajar di perantauan pasti paham rasa tidak raya seperti yang saya rasakan ini. Terutamanya kerana ada peperiksaan menanti. *Keluh dan keluh lagi*.